Nama Fauzan Ziman Hassan sememangnya tidak asing oleh rakan-rakan di dunia guaman syariah. Bermula dengan Diploma Undang-Undang dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) pada tahun 2012, kemudian berjaya pula memperolehi Ijazah Sarjana Muda (dengan kepujian) Fiqh dan Fatwa dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada tahun 2016. Tanpa menoleh kebelakang, Fauzan kemudiannya melanjutkan pelajaran di dalam Diploma lanjutan di Universiti yang sama dan dianugerahkan Diploma Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie (DIJAP) pada tahun 2017.

Dengan lebih 5 tahun pengalaman dalam dunia guaman syarie, Fauzan Ziman Hassan sentiasa komited membantu anda dalam menyelesaikan sebarang urusan melibatkan kes-kes di Mahkamah Syariah.

Memulakan langkah dengan berkhidmat sebagai penasihat syariah di Badan Kebajikan dan Sukan Syariah Perak selama 2 tahun. Berbekalkan pengalaman tersebut, Fauzan kemudian ditauliahkan sebagai Peguam Syarie di negeri Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor.

Sepanjang penglibatan di dalam dunia guaman syariah, terdapat pelbagai kes yang berjaya diselesaikan oleh beliau sama ada secara perbicaraan penuh mahupun penyelesaian persetujuan bersama, antaranya Pengesahan Hibah yang melibatkan tiga belas aset meliputi empat hartanah dan sembilan lagi harta alih melibatkan akaun, saham serta akaun pelaburan.

Fauzan juga sering dijemput oleh badan kerajaan, badan berkanun, syarikat swasta serta jawatankuasa masjid untuk memberikan perkongsian tentang isu-isu melibatkan kekeluargaan dan pengurusan harta Islam. Antara institusi yang pernah bekerjasama dengan beliau adalah Institut Perindustrian Arumugam Pillai Nibong Tebal, Persatuan Guru dan Staff MARA Transkrian dan Jawatankuasa Penduduk Jalan haji Othman Lama, Klang.

Kini, Fauzan semakin mengorak langkah bersama Firma Abdul, Low & Partners untuk memberikan khidmat guaman yang terbaik demi mencapai kepuasan serta keadilan kepada anakguam.