Remyzen Bin Moksin menerima Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, LLB. (Kepujian) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (“UKM”) dan telah pada mulanya didaftaraikan sebagai Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak pada tahun 2016 di Kota Kinabalu Sabah dan telah terlibat dengan kes-kes Litigasi Jenayah yang berprofil tinggi. Beliau kini telah berpindah ke Semenanjung Malaysia di Kuala Lumpur dan seterusnya telah juga didaftaraikan sebagai Peguamcara dan Peguambela di Mahkamah Tinggi Malaya yang mana beliau telah berterusan terlibat di dalam pelbagai kes-kes Litigasi Sivil yang luas serta kompleks.

Sepanjang pengalaman undang-undang beliau, beliau telah didedahkan dan dipercayai untuk menangani sendiri atau membantu Peguam Kanan di dalam banyak kes yang melibatkan litigasi di Mahkamah yang melibatkan tetapi tidak terhad kepada kes Jenayah, Sivil, komersial, litigasi korporat, undang-undang keluarga, prosiding probet atau pengurusan harta pusaka, perlanggaran kontrak komersial atau persetujuan sewa beli, pertikaian mengenai pengurusan strata, tuntutan hutang, pertikaian mengenai tanah, tuntutan tort, admiralti dan maritim, pertikaian kepada isu penjualan dan pembekalan barang-barang atau perkhidmatan dan prosiding insolvensi daripada Mahkamah Rendah sehingga ke Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Dengan memiliki fikiran yang tajam serta kemahiran dan pengetahuan mengenai undang-undang yang mantap telah membolehkan beliau untuk mengenalpasti dan menyelesaikan pelbagai isu undang-undang yang berkaitan. Remyzen kini adalah sebahagian daripada pasukan litigasi di Tetuan Abdul, Low & Partners. Beliau percaya bahawa tiada peluang yang lebih baik untuk beliau mencabar dirinya dan tiada hasil yang lebih bermakna secara intelek, selain daripada beliau melibatkan diri di dalam profession bidang undang-undang sebagai suatu semangat yang mendorong beliau untuk sentiasa memberikan perkhidmatan undang-undang yang terbaik dari segi bantuan undang-undang kepada kesemua kliennya sama ada di dalam atau di luar kamar Mahkamah. Beliau juga merupakan seorang yang bermotivasi tinggi, teliti dan berdaya saing yang dapat mengendalikan banyak isu undang-undang yang kompleks dan berbeza namun masih dapat mengekalkan disiplin dan etika kerja yang tinggi.

Penglibatan di dalam Kes Jenayah

  1. Terlibat di dalam membela kes kesalahan pengedaran dadah berkaitan dengan Akta Dadah Berbahaya 1952 di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang membawa hukuman mati dan menjadi sebahagian kepada usaha dalam kejayaan yang menjadikan tuduhan yang berkaitan di dalam kes tersebut, telah diketepikan oleh Mahkamah Tinggi dan digantikan dengan tuduhan yang membawa kepada hukuman yang lebih rendah.
  2. Terlibat di dalam membela kes kesalahan membunuh berkaitan dengan Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Rayuan yang membawa hukuman mati dan menjadi sebahagian kepada usaha dalam kejayaan yang menjadikan tuduhan yang berkaitan di dalam kes tersebut, telah digantikan dengan tuduhan dibawah seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman yang lebih rendah.

Penglibatan di dalam Kes Sivil

  1. Bertindak mewakili pelbagai klien di dalam tuntutan hutang yang melibatkan jumlah hutang yang besar iaitu diantara RM 1 juta sehingga RM 4 juta dan telah berjaya mendapatkan penghakiman di Mahkamah Tinggi yang berbeza serta memihak kepada klien-klien yang sama diwakili.
  2. Terlibat di dalam kes litigasi korporat yang mewakili syarikat tempatan yang tersenarai awam dan juga merupakan salah satu syarikat makanan yang utama di utara semenanjung Malaysia dan bertindak bagi pihak syarikat tersebut dalam membantu menahan mesyuarat EGM daripada dipanggil berikutan daripada Notis istimewa (“Special notice”) yang dikeluarkan oleh seorang pemegang saham yang terbesar, dengan agenda utama untuk menggantikan kesemua Pengarah di dalam syarikat tersebut.
  3. Bertindak mewakili syarikat antarabangsa yang merupakan sebahagian kepada badan yang terkemuka di dunia di dalam perkhidmatan klasifikasi dan pengesahan pematuhan keselamatan kapal dan loji pesisir luar lautan (“offshore plant”) selaras dengan peraturan dan standard di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dan seterusnya menjadi sebahagian kepada usaha kejayaan syarikat tersebut untuk menuntut hutang yang berjumlah besar di antara ratusan ribu ringgit daripada syarikat yang lain, termasuk kepada tindakan pembelaan daripada tuntutan balas yang melibatkan jumlah tuntutan lebih daripada US$ 1.3 juta.
  4. Bertindak untuk sebuah syarikat Sub-kontraktor yang menuntut sejumlah RM 1.8 juta daripada syarikat Kontraktor Utama di dalam kes pembinaan yang mana Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan tuntutan syarikat Sub-Kontraktor tersebut di dalam jumlah lebih daripada RM 1.2 juta.
  5. Bertindak untuk sebuah syarikat yang menentang permohonan penangguhan di dalam prosiding penggulungan syarikat di bawah seksyen 470 Akta Syarikat 2016 yang mana Mahkamah Tinggi Shah Alam telah bersetuju untuk menolak permohonan penangguhan tersebut setelah mendapati bahawa Mahkamah penggulungan Syarikat tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menangguhkan mana-mana prosiding penggulungan syarikat berdasarkan Akta Syarikat 2016.
  6. Bertindak untuk seorang klien di dalam kes Keluarga yang dipertikaikan di peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan di peringkat permohonan kebenaran untuk merayu, yang melibatkan pertikaian mengenai bidangkuasa wilayah antara dua Mahkamah Tinggi yang berbeza, yang membawa kepada keputusan Mahkamah Rayuan berpihak kepada klien dan keputusan yang sama disahkan semula oleh Mahkamah Persekutuan.

Kes-kes yang dilaporkan

  1. FL SYSTEM SDN BHD v. PLE ENGINEERING & CONSTRUCTION SDN BHD [2021] 1 LNS 2096 - Mahkamah Tinggi Shah Alam.
  2. EKA NOODLE BERHAD v. NORHAYATI TUKIMAN [2021] 1 LNS 1435 - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
  3. LEAN KEE CHAN (IPOH) SDN BHD v. SAUDI COLD STORAGE SDN BHD [2022] 1 LNS 71 - Mahkamah Tinggi Ipoh